Pages

HUKUM PAKAI CINCIN, GELANG, DAN RANTAI BAGI LELAKI

Sudah lama rasanya tak meng-update blog ini, dah berhabuk rasanya. Kali ini rasa nak bincang sedikit pasal hukum memakai cincin, gelang dan rantai bagi lelaki. Ilmu di dada tidaklah penuh macam ustaz-ustaz dan diri pun belum cukup sempurna untuk menasihati orang lain tetapi ini sebagai peringatan kerana kita sesama Islam memang disarankan saling ingat-mengingati dan menasihati antara satu sama lain. Yang pertama sekali cincin. Memakai cincin merupakan salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah  memakai cincin. Berdasarkan hadith daripada Anas bin Malek :

“Adalah cincin Nabi SAW dipakai pada tangan ini (Dan dia menunjukkan kepada kelingking jari kiri)"
(Hadith Riwayat Muslim) 

Begitu juga, nasihat Nabi Muhammad saw kepada Saidina Ali sesudah bernikah  dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari manis atau jari kelingking (anak jari). Di samping itu Ali bin Abi Talib berkata : “ Rasulullah s.a.w telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya( jari tengah atau jari hantu)”. (Hadith riwatat Muslim, Abu Daud At-Tirmizi dan An-Nasai)

Yang kedua pula gelang. Ramai lelaki suka memakai gelang yang ada dijual dengan pelbagai warna, yang diperbuat dari tali pun ada yang pakai. Bagi pemakaian gelang tangan pula, terdapat sebuah hadis yang menyebut gelang tangan ini.



Bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki tersebut:”Apakah bendanya ini”? Lelaki itu berkata:”Ia adalah gelang perubatan”. Rasulullah bersabda: “ Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekirannya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya (Sahih riwayat Imam Ahmad).

Berdasarkan hadis di atas, terdapat perbezaan pendapat ulama’ sama ada yang mengharuskan ataupun mengharamkan pemakaian gelang tangan ini. Mereka yang mengharamkan penggunaan gelang tangan adalah bersandarkan hadis zahir di atas secara jelas melarang lelaki memakai gelang tangan, walaupun untuk tujuan perubatan.

Pun begitu, terdapat ulamak yang mengharuskan menggunakan gelang tangan bagi lelaki dengan tujuan perubatan sahaja, tetapi dengan beberapa syarat yang ketat iaitu gelang tersebut telah dibuat kajian saintifik bahawa boleh merawat penyakit, gelang tersebut bukan dibuat daripada emas dan perak, pemakaian gelang tersebut bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. Ustaz Muhammad Sa'di (Penyelidik laman Islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam syirik yang kecil, beliau menjawab: "Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat."

Larangan memakai gelang yang dinamakan al-wahinah di dalam hadis di atas bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal. Oleh itu, pemakain gelang tangan bagi tujuan tangkal adalah jelas, iaitu haram. Tidak kira jenisnya, sama ada ada logam, tali bewarna hatta gelang getah sekalipun. Majlis fatwa kebangsaan telah memutuskan lilitan hitam di lengan bagi umat Islam adalah haram kerana ia merupakan suatu adat atau kepercayaan agama lain.

Masyarakat awam zaman sekarang suka memakai gelang yang dipakai bukanlah jenis magnetik yang dibuat untuk tujuan perubatan tetapi jenis logam biasa yang boleh dibeli di mana-mana sahaja dengan harga yang murah. Jadi gelang ini bukanlah jenis yang diharuskan menurut Islam. Pemakain mereka hanya bertujuan  untuk menunjukkan penampilan yang dianggap “gagah” atau “macho” . Oleh itu jika hanya untuk menunjuk-nunjuk atau berhias (bagi lelaki) maka ia adalah amat ditegah dalam Islam.



Berkaitan dengan pemakaian rantai leher pula, bila ditanya “ kenapa pakai rantai leher?” ramai menjawab: “rantai ini bukan dari jenis emas atau perak”.  Persoalan di sini bukanlah jenis buatannya sama ada rantai emas, perak, besi ataupun tembaga. Menurut  Islam rantai leher merupakan salah satu alat perhiasan bagi wanita sahaja.  Haram meniru atau menyerupai wanita sama ada dari segi alat perhiasan ataupun pakaian. Amat beratlah kesalahannya jika tujuan pemakaian rantai leher itu bertujuan untuk meniru agama, anutan, ajaran agama lain, maka hukumnya haram, bersandarkan sebuah hadis:

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia akan tergolong di dalam kaum berkenaan.” (Riwayat Abu Daud).

Saya bincangkan tajuk ini bukanlah sekadar suka-suka tetapi ingin beri peringatan kepada sesiapa yang baca kerana benda ini berlaku depan mata saya. Ketika solat Jumaat, saya beri salam kedua lalu saya terpandang seorang lelaki dengan baju melayu bangun dari tempat duduknya selepas solat, tetapi lelaki itu memakai rantai ketika solat. Hukum memakai rantai pun dah haram, apa lagi ketika solat. Sah atau tidak solat lelaki tersebut. Biar Allah yang tentukan.


Apa yang perlu di sini ialah ilmu pengetahuan. Dengan erti kata segala perbuatan dan amalan yang kita lakukan hendaklah berdasarkan ilmu yang sohih, bukan ikut-ikutan sahaja. Punca utama berlakunya terikut-ikut dengan budaya songsang seperti bertindik, rambut punk, bertatu, memakai rantai adalah kerana kejahilan dan kedangkalan untuk tidak mendalami ilmu agama. Ironinya keseronokan  mengikut budaya asing atau songsang ini akan merosakkan diri malah yang lebih parah lagi, boleh merosakkan akidah kita. Akhirnya, panduan ilmu yang benar akan mendorong segala perlakuan kita bertepatan dengan ajaran Islam seterusnya mendapat kerahmatan dari Allah taala. Wassalam.