Pages

KERAJINAN ABDULLAH BIN ZUBAIR BERIBADAH KEPADA ALLAH

Abdullah bin Zubair seorang yang rajin beribadah. Kerajinan Abdullah bin Zubair mengerjakan ibadah kepada Allah terserlah semasa hidupnya. Solat-solat sunat siang dan malam tidak pernah dia tinggalkan, apatah lagi solat yang wajib. Demikian juga beliau mengekalkan ibadah tawaf di Kaabah dalam setiap masa dan dalam keadaan apa sekalipun. Suatu hari kota Makkah dilanda hujan lebat dan banjir sehingga kawasan Masjidil Haram dipenuhi air dan Kaabah pun hampir tenggelam. Dalam keadaan seperti itu sekalipun, Abdullah bin Zubair tetap ingin bertawaf, maka beliau pun berenang mengelilingi Kaabah sehingga selesai tawafnya.


Abdullah bin Zubair juga seorang yang sangat khusyuk apabila mengerjakan solat. Diceritakan, pada suatu hari Abdullah bin Zubair sedang solat, tiba-tiba jatuh seekor ular dari bahagian atas rumahnya dan membelit tubuh anaknya yang berada dekat dengannya. Isteri Abdullah bin Zubair pun menjerit dan orang ramai pun datang menyelamatkan anaknya lalu membunuh ular tersebut. Abdullah bin Zubair sedikit pun tidak memandang kepada mereka yang sedang kecoh itu. Mereka bertanya kepada Abdullah bin Zubair sama ada beliau menyedari apa yang berlaku, tetapi beliau menjawab beliau sedikit pun tidak menyedari apa yang berlaku. Begitu khusyuknya Abdullah bin Zubair ketika beribadah kepada Allah. Kalau kita bagaimana?


Tentang ibadah puasa Abdullah bin Zubair, diceritakan bahawa beliau berpuasa sepanjang masa sehingga hari jumaat. Jika berpuasa di Makkah, beliau tidak akan berbuka kecuali setelah sampai di Madinah kerana beliau seorang yang tahan lapar. Pada bulan Ramadhan pula, beliau tidak makan kecuali hanya sekali pada pertengahan bulan.


Soal pakaian pula, Abdullah bin Zubair ini sangat bersahaja dan seolah-olah tidak peduli tentang pakaiannya sehingga ada yang menceritakan bahawa selama 40 tahun beliau tidak menukar pakaiannya. Itulah serba sedikit cerita tentang Abdullah bin Zubair yang saya tahu. WaAllahu 'Alam.




No comments:

Post a Comment