Pages

SEJARAH MASJID QIBLATAIN

click here for ENGLISH TRANSLATION of this post


Pada zaman Rasulullah S.A.W, masjid ini merupakan tempat mengerjakan solat bagi Bani Salamah. Ianya terletak di sebelah barat laut Madinah berdekatan dengan Wadi Aqeeq dan Universiti Islam Madinah. Masjid ini diberi nama Masjid Kiblatain (Masjid 2 Kiblat) bersempena dengan peristiwa turunnya perintah Allah S.W.T agar Rasulullah menjadikan Kaabah sebagai kiblat menggantikan Baitul Maqdis.

Peristiwa ini berlaku pada 2 Hijrah iaitu selepas 16 atau 17 bulan selepas Baginda berhijrah ke Madinah. Rasulullah S.A.W bersama beberapa orang sahabat telah pergi ke perkampungan Bani Salamah kerana menerima jemputan jamuan makan tengah hari daripada Ummu Bisyr ibn al-Bara'

Apabila tiba waktu Zohor Rasulullah S.A.W dan para sahabat mengerjakan solat Zohor di Masjid Bani Salamah berkiblatkan  Baitul Maqdis. Ketika berada pada rakaat kedua, turun firman Allah S.W.T yang bermaksud :

".. Maka sesungguhnya Kami akan memalingkan kamu ke arah kiblat yang kamu sukai, oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.. "  Surah Al-Baqarah : 144.


Dengan turunnya ayat di atas, Rasulullah S.A.W segera mengubah arah kiblat Baginda dengan berpusing ke belakang diikuti para sahabat dan mereka menyempurnakan solat Zohor tersebut. Jelas di sini bahawa Rasulullah S.A.W mengerjakan solat Zohor tersebut menghadap ke arah dua kiblat iaitu Baitul Maqdis, dan kemudian mengubah kedudukan Baginda lalu berkiblatkan Baitullah di Makkah Al-Mukarramah. Wassalam.

No comments:

Post a Comment